Latest News

Zulfahmi buat kejutan di Jerez

Monday, April 4, 2011 @ 7:10 AM

pelumba pasukan Airasia-Sic-Ajo, Zulfahmi Khairuddin (depan) memecut di selekoh dalam kategori 125cc untuk menghabiskan perlumbaan di tempat ke-10 Grand Prix Sepanyol dekat Jerez, semalam. - AFP
KUALA LUMPUR - Perlumbaan Grand Prix Sepanyol di Jerez memberi tuah buat Muhammad Zulfahmi Khairuddin apabila menduduki tempat ke-10 dan meraih enam mata bagi kategori 125cc di Litar Jerez, semalam.

Pelumba berusia 19 tahun itu meraih matanya yang pertama dan memperbaiki prestasi selepas menduduki tempat ke-19 pada perlumbaan pembuka tirai 2011 di Grand Prix Qatar bulan lepas di Litar Antarabangsa Losail.

Menurut pelumba kelahiran Banting itu yang mewakili pasukan Airasia-Sic-Ajo, dia sangat gembira dengan keputusan 10 terbaik itu selepas melakukan permulaan yang baik walaupun beraksi dalam keadaan hujan.

"Beraksi dalam hujan menuntut kesabaran yang tinggi tetapi saya yakin mampu memberikan prestasi terbaik, kerana saya mempunyai hubungan yang baik dengan jentera sepanjang perlumbaan," katanya melalui kenyataan khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Utusan Malaysia, semalam.

Jelasnya, semua orang sangat gembira dengan keputusan tersebut dan dia amat berterima kasih kepada pasukannya serta penaja kerana memberi kepercayaan sepenuhnya kepadanya walaupun gagal beraksi baik di Qatar sebelum ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali berkata, dia sangat gembira dengan prestasi yang dipamerkan Zulfahmi kerana semua orang tahu bahawa Litar Jerez adalah litar yang sering dikuasai oleh pelumba Sepanyol, Itali serta negara lain dari Eropah.

Perlumbaan tersebut dimenangi oleh Nicolas Terol dari Bankia Aspar, manakala Jonas Folger (Red Bull Ajo MotorSport) menduduki tempat kedua, Johann Zarco dari Avant-AirAsia-Ajo di tempat ketiga. -Utusan

Currently have 0 comments:

Leave a Reply

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...