Latest News

Azizan tegur prestasi tak bermaya Kedah

Thursday, March 3, 2011 @ 2:02 PM

Azizan (tiga kanan) berbual dengan tiga daripada lima pemain Kedah (dari kiri) Mohd. Sabree Abu, Khairul Helmi dan Amar Rohidan yang membantu skuad kebangsaan menjulang Piala AFF Suzuki pada majlis penyampaian ganjaran RM5,000 setiap pemain di Wisma Darulaman, Alor Setar, semalam. - UTUSAN/Ahmad Syahir Kassim
ALOR SETAR - Keputusan kurang memberangsangkan Kedah dalam saingan Liga Super mengundang teguran Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Azizan Abdul Razak semalam.

Sambil menyifatkan keputusan yang dicapai Sang Kenari selepas enam perlawanan sekadar 'boleh tahan', beliau mengharapkan peningkatan prestasi, seterusnya memperbaiki kedudukan dalam liga.

Menurutnya, Sang Kenari mampu mencatat keputusan yang lebih baik kerana dibarisi pemain berbakat dan berpengalaman.

"Saya harap selepas ini pemain akan 'pulun' bersungguh-sungguh,'' katanya selepas mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini semalam.

Pada sidang akhbar itu turut diadakan majlis penyerahan ganjaran RM5,000 kepada lima pemain Kedah yang membantu skuad negara menjulang Piala AFF Suzuki 2010 pada Disember lalu.

Pemain tersebut adalah Mohd. Sabre Mat Abu, Khairul Helmi Johari, Amar Rohidan, Mohd. Khyril Muhymeen Zambri dan Mohammad Faizal Abu Bakar.

Turut mendapat imbuhan ialah penolong jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe, yang berasal dari Kedah dan pernah beraksi untuk pasukan Hijau Kuning.

Kedah kini menghuni tangga ke-10 Liga Super dengan mengumpul enam mata apabila mencatat satu kemenangan, tiga kali seri dan dua kekalahan daripada enam perlawanan.

Dalam perlawanan terbaru kelmarin, skuad bimbingan Ahmad Yusof mencatat kekalahan kedua setelah dijinakkan Selangor 0-2 di Stadium Shah Alam.

Azizan yang juga Menteri Besar berkata, pemain Kedah perlu memantapkan persembahan mereka kerana peminat mahukan mutu permainan yang tinggi.

Katanya, para peminat termasuk di Kedah sering menonton perlawanan Liga Perdana England (EPL) dan gemar membanding mutu permainan pada saingan Eropah.- UTUSAN

Currently have 0 comments:

Leave a Reply

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...